Tapak pelupusan sampah haram di Bandar Mahkota Cheras yang ditutup Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) selepas dikesan menyebabkan pencemaran bau oleh Jabatan Alam Sekitar (Jas). Foto Facebook JAS
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Gempur lokasi pembuangan sampah haram, MPKj keluar 29 kompaun

SHAH ALAM, 25 OGOS: Sebanyak 29 kompaun dikeluarkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam operasi gempur di beberapa lokasi pembuangan sampah haram setakat Isnin lalu.

Yang dipertuanya berkata kompaun dikeluarkan bagi kesalahan pencemaran alam sekitar dibawah Undang-undang Kecil- Pemungutan, Pembuangan, dan Pelupusan Sampah Sarap MPKj 2007.

“Menerusi operasi sama juga kita menyita 27 lori bagi tempoh sama yang mana paling banyak pada tahun ini walaupun bulan ini belum berakhir.

“Ini menunjukkan MPKj serius dalam menangani masalah ini dan mahu menguatkuasakan undang-undang ditetapkan,” kata Najmuddin Jemain pada Mesyuarat Majlis Bil 8/2022 MPKj semalam.

Mengulas mengenai pemadaman tapak sampah haram di Twin Palms, Bandar Sungai Long Cheras, Najmuddin memaklumkan operasi dan penutupannya mencapai 95 peratus dan dijangka selesai sepenuhnya esok.

“Untuk status tanah ini, MPKJ tidak pernah memberi sebarang kebenaran kepada mana-mana pihak untuk memulakan atau menjadikannya sebagai tempat pelupusan sampah haram.

“MPKj menasihatkan agar setiap pemilik tanah supaya lebih peka dan bertanggungjawab terhadap tanah-tanah hak milik mereka dan menjaganya daripada sebarang bentuk encerobohan termasuklah isu kemasukan sampah-sampah haram dengan mendirikan pagar di sekeliling tanah,” katanya.

Tambah beliau, sebarang kos dikeluarkan pihaknya seperti mengawal, memadam kebakaran dan membaik pulih tanah akan dikenakan ke atas pemilik tanah, jika gagal halangan bagi mendapatkan kebenaran merancang akan dikenakan.


Pengarang :