EXCO Pelancongan Hee Loy Sian (kanan) dan EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah (dua, kanan) merasmikan sesi penilaian kebangsaan Gombak-Hulu Langat Geoaman 2022. Turut hadir Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad (dua, kiri) di Hotel Grand Barakah Ampang Jaya pada 16 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Geotaman Gombak-Hulu Langat lonjak Selangor ke peringkat antarabangsa

AMPANG JAYA, 17 OGOS: Kerajaan Negeri berharap pengiktirafan sebagai tapak geotaman kebangsaan mampu melonjakkan nama Geotaman Gombak-Hulu Langat (GHL) ke peringkat antarabangsa.

EXCO alam sekitar dan teknologi hijau berkata penjenamaan sebagai geotaman dalam kawasan pelancongan dapat memberi nilai tambah yang cukup tinggi dalam kalangan pelancong.

“Penggemar tarikan sedemikian cenderung tinggal lebih lama dan berulang kali khususnya pelancong daripada Eropah, Asia Barat, Australia dan Amerika Syarikat.

“Justeru, dari aspek pelancongan, status Tapak Geotaman Kebangsan dapat melonjakkan kawasan Gombak-Hulu Langat Geotaman dan Selangor ke peringkat global,” kata Hee Loy Sian ketika merasmikan sesi penilaian kebangsaan GHL Geotaman di Grand Barakah Hotel di sini, semalam.

GHL Geotaman kini sedang menjalani proses penilaian selama empat hari oleh Jawatankuasa Penilaian Geotaman Kebangsaan bermula kelmarin.

Menurut Loy Sian, penilaian sehingga 18 Ogos itu melibatkan 13 stesen di daerah Gombak dan Hulu Langat.

“Kita berharap sesi penilaian ini akan mengiktiraf usaha pemeliharaan warisan geologi dan alam semula jadi di Gombak-Hulu Langat sekali gus menjadikan ia lokasi Geotaman Kebangsaan.

“Selepas penilaian kebangsaan ini berjaya, kita akan membuat persediaan rapi bagi sesi penilaian ke peringkat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) yang akan dilaksanakan menjelang 2025,” katanya.

Pada November 2020 lalu, Selangor menubuhkan Badan Pengurusan Geotaman Gombak dan Hulu Langat sebagai usaha memperoleh pengiktirafan Tapak Geotaman Kebangsaan.

Jawatankuasa tersebut berperanan mengumpul maklumat geotaman, menyediakan data, melakukan aktiviti promosi dan mengenal pasti agensi berkaitan untuk menjalinkan kerjasama.


Pengarang :