AGENSISELANGOR

GM Klang lancar kempen ‘Malaysia, Rumah Kita’ semarak perpaduan kaum

KLANG, 31 OGOS: Pusat Borong GM Klang hari ini melancarkan kempen, ‘Malaysia, Rumah Kita!’ bagi menyemarakkan semangat integrasi nasional dan perpaduan antara kaum dalam kalangan peniaga serta pengunjung pusat borong itu.

Eksekutif Komunikasi Jenama GM Klang Nurhani Yasmeen Mohd Zainan berkata kempen yang bermula hari ini sehingga 17 Sept itu adalah hasil gabungan tiga perayaan iaitu Hari Kebangsaan, Festival Kuih Bulan (Mid-Autumn Festival) dan Hari Malaysia.

“Ketiga-tiga perayaan ini mempunyai satu objektif yang sama iaitu kebersamaan, dengan penyatuan kaum keluarga, rakan-rakan, komuniti dan rakyat Malaysia bagi menyambut kesemua perayaan itu bersama-sama.

“Malaysia adalah ibarat sebuah rumah untuk kita sama-sama menghiasinya dengan kandungan yang indah supaya kita semua sentiasa berasa selesa dan bahagia, selain terus perkukuhkan perpaduan kaum supaya nilai-nilai murni dapat disemai,” katanya kepada Bernama.

Turut hadir Pengurus Kanan Pemasaran GM Klang, Cindy Tan Shanni.

Nurhani Yasmeen berkata pelbagai aktiviti menarik akan disajikan kepada pengunjung pusat borong tersebut sepanjang kempen itu berlangsung.

“Antaranya adalah program ‘Belanja dan Tebus’, yang menyaksikan pengunjung boleh menebus T-shirt eksklusif apabila berbelanja lebih RM200 di pusat borong ini pada Hari Malaysia nanti.

“Selain itu pada 31 Ogos, 10, 11, 16 serta 17 September terdapat pelbagai aktiviti akan diadakan seperti pencarian harta karun, pencarian fesyen Merdeka, persembahan nyanyian, kumpulan pancaragam, pertandingan mewarna tanglung serta macam-macam lagi,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai kempen itu boleh didapati melalui laman web gmklang.com ataupun menerusi sosial media rasmi GM Klang. – BERNAMA


Pengarang :