Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej untuk menuntut hadiah berupa wang tunai yang kembali tular dalam laman sosial. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Godam media sosial akibatkan banyak kerugian, boleh berlaku kepada sesiapa sahaja

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Ancaman keselamatan siber tidak boleh dipandang enteng kerana ia boleh mengakibatkan banyak kerugian.

Dalam kebanyakan keadaan, sasaran dipilih secara rawak kerana jenayah siber tidak mengenal mangsa apabila hampir semua lapisan masyarakat termasuk golongan profesional, individu berpengaruh dan pemimpin negara turut menjadi mangsa.

Baru-baru ini, dilaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menjadi mangsa apabila akaun Telegram beliau digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Perkara itu diumumkan oleh Ismail Sabri sendiri menerusi ciapan di Twitter disusuli laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Menurut SKMM, dalam kebanyakan kes objektif penjenayah adalah menggunakan akaun yang telah diambil alih untuk menyamar sebagai pemilik asal bagi pelbagai tujuan penipuan, termasuk membabitkan kewangan.

“Si pelaku akan mengambil kesempatan dengan menggunakan ID untuk menipu orang awam yang mempunyai kaitan dengan individu-individu tertentu dan dalam kes ini, para pemimpin negara,” menurut SKMM kepada Bernama.

SKMM dan Agensi Keselamatan Siber Negara, sebagai agensi khusus yang bertanggungjawab menyelia semua fungsi aspek keselamatan siber negara, sentiasa bersiap siaga dan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan keselamatan siber negara berada di tahap terbaik bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Semua aplikasi pemesejan dan media sosial telah dibangunkan oleh penyedia platform dengan ciri-ciri keselamatan yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna untuk melindungi mereka daripada insiden siber.

“Satu daripada ciri-ciri keselamatan tersebut adalah pengguna perlu mengaktifkan penyahihan dua-faktor (2FA) bagi setiap akaun pemesejan dan media sosial,” menurut SKMM.

Pengguna juga perlu merahsiakan dan tidak menyerahkan sebarang kod pengesahan (OTP) yang diberikan oleh penyedia platform bagi mengelakkan risiko pengambilalihan akses oleh pihak tidak bertanggungjawab.

SKMM turut menasihati pengguna aplikasi pemesejan serta media sosial supaya sentiasa berwaspada dan tidak sesekali menyerahkan atau berkongsi butiran peribadi mereka dengan pihak tidak dikenali bagi mengelakkan risiko penggodaman.

“Selain mengaktifkan 2FA, pengguna aplikasi pemesejan dan media sosial juga boleh menggunakan kata laluan yang kompleks dan sukar diteka.

“Jangan klik sebarang URL atau pautan yang diterima daripada mana-mana pihak termasuklah pihak yang mendakwa mereka wakil sah kepada penyedia platform pemesejan atau platform media sosial.

“Anda mungkin akan diarahkan kepada sesuatu laman yang menyerupai platform berkenaan dan diminta untuk memberikan nama pengguna dan kata laluan yang pernah atau sedang digunakan,” menurut SKMM.

Penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim pula berkata isu akaun media sosial Perdana Menteri digodam adalah perkara biasa yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan bukan ancaman kepada negara.

Beliau berkata terdapat dua faktor yang boleh menyebabkan perkara itu berlaku iaitu peranti digunakan terdedah dengan perisian hasad dan platform aplikasi yang digunakan mudah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Ia perkara biasa yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sebab kita harus faham platform Telegram itu bukan kita yang buat.

“Umum tahu platform ini mudah untuk kita manipulasi, akhirnya kita boleh memiliki akaun orang lain untuk mengugut dan ini memang banyak berlaku serta kerap dilaporkan di akhbar melibatkan selebriti dan juga orang biasa,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Kamal Affandi berkata masyarakat tidak seharusnya cepat membuat kesimpulan dengan mengatakan sistem siber Malaysia sudah tidak selamat apabila akaun media sosial pemimpin tertinggi negara juga boleh digodam.

“Ada pandangan mengatakan kalau Perdana Menteri dan Menteri Luar (Datuk Seri Saifuddin Abdullah) pun boleh kena, bermakna Malaysia tidak cekap dalam menangani serangan siber sedemikian.

“Saya perlu sangkal kenyataan ini kerana dalam banyak hal, telah terbukti bahawa CyberSecurity Malaysia dan SKMM telah menjalankan peranan mereka dengan baik,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :