Google Doodle memberi penghormatan hari lahir ke-94 kepada tokoh wartawan negara, Allahyarhamah Azah Aziz pada 21 Ogos 2022. Foto Google
AGENDANASIONAL

Google beri penghormatan kepada tokoh wartawan negara Allahyarhamah Azah Aziz

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Hari ini Google Doodle memberi penghormatan hari lahir ke-94 kepada tokoh wartawan negara, Allahyarhamah Azah Aziz.

Azah Aziz atau nama sebenarnya Sharifah Azah Syed Mohammad Alsagoff/Norazah Abdul Aziz dilahirkan pada 21 Ogos 1928. Beliau kemudian berkahwin dengan Prof Diraja Dr Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.

Azah Aziz yang lebih mesra dikenali sebagai Mak Ungku telah menulis sejumlah artikel akhbar dan majalah selama 37 tahun. Selain itu, beliau juga mengarang lebih 10 buah buku termasuk jilid mengenai tekstil dan pakaian Melayu.

Dalam kenyataan Google hari ini, Azah Aziz mula memupuk minat dalam bidang penulisan dan sastera semasa bekerja sebagai setiausaha di Jabatan Pengajian Melayu, di bawah ketua jabatan Tan Sri Zainal Abidin Ahmad atau dikenali sebagai Pendeta Za’ba.

“Pada tahun 1957, tuah datang menemui Azah Aziz apabila beliau ditawarkan bekerja sebagai setiausaha kepada ketua pengarang Straits Times ketika itu, Leslie Hoffman, tiga bulan selepas ia memperkenalkan akhbar berbahasa Melayu pertamanya, Berita Harian.

“Beliau (Azah Aziz) kemudian memulakan kerjayanya sebagai wartawan apabila ditugaskan untuk menguruskan bahagian wanita, mengambil alih tugas yang asalnya dikendalikan ibunya, Azizah selama dua tahun,” menurut kenyataan itu.

Antara personaliti antarabangsa yang pernah ditemu ramah Azah Aziz ialah bekas perdana menteri India, Indira Gandhi, peninju Muhammad Ali & keluarganya serta angkasawan wanita pertama ke angkasa lepas, Valentina Nikolayeva-Tereshkova.

Selain itu, melalui syarikat penerbitannya sendiri iaitu Akaz, Azah Aziz menjadi antara wanita pertama di Malaysia menerbitkan buku puisi, permainan dan lagu untuk kanak-kanak antaranya Adik Comel, Ibu, Keluarga Kita, O! Bangau dan Burung Kenek Kenek.

Menjadi perintis dalam banyak perkara, Azah Aziz mengasaskan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) dan menjadi presiden pertamanya dari 1971 hingga 1978 serta penasihat Pertama seterusnya.

Figura ini juga memperjuangkan hak persamaan gaji, cukai berasingan untuk isteri bekerja, pindaan keluarga Islam, seterusnya mengasaskan Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), iaitu organisasi bagi menangani kebajikan dan keperluan wanita dan kanak-kanak.

Ibu kepada bekas gabenor negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz ini juga merupakan ikon budaya negara atas usahanya dalam pemeliharaan budaya, tekstil dan pakaian tradisional Melayu sehingga beliau digelar Tokoh Budayawan Melayu.

Mempunyai pengetahuan mendalam tentang pakaian, perhiasan dan tekstil, Azah Aziz memberi syarahan dan memperkenalkan budaya Melayu kepada festival seni dan seminar antarabangsa serta menghabiskan sisa hidupnya memartabatkan adat Melayu agar terus berkembang maju di seluruh dunia.

Sumbangannya dalam bidang kewartawanan dan mempromosikan budaya diiktiraf Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2008, yang mana UPSI menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor dalam bidang Seni dan Pendidikan.

Beliau turut dipilih sebagai Tokoh Wanita Johor (1992) & penerima Anugerah Wanita Cemerlang Avon-Tan Sri Fatimah 1994.

Azah Aziz meninggal dunia pada 9 Julai 2012 pada usia 84 tahun. – BERNAMA


Pengarang :