Ribuan tanglung merah menghiasi kawasan Tokong Thean Hou, Kuala Lumpur ketika tinjauan pada 30 Januari 2022 bagi menaikkan semangat masyarakat Cina untuk menyambut Tahun Baharu Cina kali ini. Foto BERNAMA
PBTSELANGOR

Hadiah RM40,000 menanti pemenang pertandingan reka cipta tanglung mesra alam

SHAH ALAM, 18 OGOS: Hadiah bernilai RM40,000 menanti pemenang pertandingan mereka cipta tanglung berkonsepkan kelestarian mesra alam peringkat negeri Selangor 2022.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memaklumkan pertandingan yang berlangsung mulai 16 Ogos hingga 4 September itu terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori A dan B.

Kategori A membabitkan pelajar berumur 15 tahun dan ke bawah, manakala kategori B adalah bagi pelajar berumur 16 tahun dan ke atas.

“Jangan lepaskan peluang ini. Rangsanglah kreativiti anda dengan menggunakan bahan-bahan kitar semula untuk menghasilkan tanglung paling unik untuk Selangor,” kongsi MPKj menerusi Facebook.

Antara syarat penyertaan adalah tanglung mesti dihasilkan sendiri oleh peserta dan 70 peratus tanglung mesti menggunakan bahan kitar semula serta berukuran tidak melebihi 60 sentimeter (cm) x 60 cm.

“Struktur hasil tanglung hendaklah kukuh supaya mudah digantung dan tidak menyentuh isu sensitif seperti agama dan politik,” katanya.

Pelajar yang berminat boleh mendaftar di https://forms.gle/uWB4aD3wCiiwwG318 dan borang penyertaan lengkap perlu dihantar sebelum 28 Ogos ini.

MPKj memaklumkan semua tanglung akan dipamerkan dalam program Pesta Tanglung Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang berlangsung pada 4 September ini di Taman Rekreasi Bandar Mahkota Cheras, Kajang.

Majlis penyampaian hadiah akan berlangsung di lokasi yang sama pada hari berkenaan.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi 017-3526982.


Pengarang :