Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) antara yang akan diperkenalkan dalam Karnival Jelajah Selangor Penyayang yang dijadualkan di Hulu Langat pada 19 Jun 2022. Foto ARKIB SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Hampir 1,000 penduduk DUN Permatang mohon bantuan keperluan asas

SHAH ALAM, 13 OGOS: Sebanyak 970 permohonan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) diterima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang setakat semalam.

Wakil rakyatnya Rozana Zainal Abidin berkata daripada jumlah itu sebanyak 103 sudah diluluskan manakala bakinya masih dalam proses semakan.

“Kita mengalu-alukan lebih ramai lagi penduduk di DUN Permatang segera memohon bantuan daripada Kerajaan Negeri ini yang berjumlah RM300 sebulan.

“Insya-Allah kita usaha untuk membuat proses penilaian secepat mungkin…kita mengutamakan keluarga yang mempunyai tanggungan anak ramai atau orang kurang upaya (OKU),” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau berharap Kerajaan Negeri dapat menambah kuota penerima di DUN Permatang memandangkan kawasan tersebut mempunyai lebih 80 peratus penduduk B40.

“Saya berharap Kerajaan Selangor dapat meningkatkan kuota di DUN ini kerana permintaan yang tinggi dan rata-rata penduduk di sini bekerja sendiri dan nelayan,” katanya.

Bingkas menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) bakal memanfaatkan 30,000 keluarga membabitkan peruntukan RM108 juta.

Program itu adalah sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bertujuan membolehkan penerima mendapat bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.


Pengarang :