Ribuan umat Islam membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada program Selawat, Munajat dan Tausiyah Perdana peringkat Selangor sempena Hari Kebangsaan ke-65 pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hampir 1,000 pengunjung sertai majlis selawat bersama Habib Ali

SHAH ALAM, 30 OGOS: Hampir 1,000 pengunjung menghadiri Majlis Selawat, Munajat dan Tausiyah Perdana di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini hari ini.

Majlis yang diserikan dengan penampilan pendakwah terkenal Habib Ali Zaenal Abidin turut disertai kira-kira 400 pelajar dari sembilan pusat tahfiz mewakili setiap daerah.

EXCO hal ehwal agama berkata program tersebut bagi mengimarahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri yang akan bermula secara rasmi malam ini.

“Kita adakan majlis ini supaya mudah-mudahan ada rahmat dan barakah kepada Selangor terutama ketika kita mahu sambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-65 esok.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) menyampaikan ceramah ketika program Selawat, Munajat dan Tausiyah Perdana peringkat Selangor sempena Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Sasaran kita juga tercapai dari segi jumlah pengunjung dan kita harap program ini dapat diteruskan setiap tahun,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika ditemui.

Selain majlis selawat, program turut diserikan dengan perarakan dan perbarisan, tarian pelbagai bangsa, koir, persembahan kawad senyap dan tempur tanpa senjata mulai 8.30 malam ini.

Penyanyi terkenal Black Hanifah dan Ernie Zakri antara selebriti yang bakal membuat persembahan menerusi program negeri bertemakan Kita Selangor Teguh Bersama.

Turut diedarkan 1,000 pelekat kereta edisi terhad Media Selangor Sdn Bhd untuk menyebarluas jenama dan produk syarikat selain mengetengahkan slogan Kerajaan Negeri.

Petugas mengedarkan akhbar Selangorkini dan pelekat kereta ‘I Love Selangor’ kepada pengunjung yang menghadiri program Selawat, Munajat dan Tausiyah Perdana peringkat Selangor sempena Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :