Orang ramai menghadiri Karnival Kerjaya Mega 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Hampir 50,000 jawatan kosong ditawar dalam karnival kerjaya Oktober ini

SHAH ALAM, 13 OGOS: Hampir 50,000 kekosongan jawatan ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya Mega Selangor siri kedua pada 29 dan 30 Oktober ini.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata program melibatkan hampir 500 majikan pelbagai sektor itu diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dekat sini.

“Kita menyasarkan penyertaan dengan jumlah tersebut malah setakat ini sudah menerima lebih 100 majikan yang berminat untuk turut serta dalam karnival siri kedua ini.

“Justeru, kita mengalu-alukan rakyat Selangor khususnya dalam kalangan belia dan orang kelainan upaya (OKU) untuk mengambil peluang hadir merebut jawatan ditawarkan,” katanya ketika dihubungi.

Individu yang berminat boleh mendaftar di laman sesawang www.selangorjobportal.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Selangor Mega Job Fair 2022 kali pertama berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA pada 11 dan 12 Jun lalu yang disertai lebih 100 syarikat termasuk badan kerajaan dan agensi Kerajaan Negeri.

Inisiatif tersebut berjaya membantu seramai 1,996 individu mendapat pekerjaan manakala seramai 3,601 pula dipanggil menghadiri temuduga kali kedua oleh majikan setakat bulan lalu.


Pengarang :