AGENSISELANGOR

Hijrah pelawa usahawan ikuti lima program tingkat ilmu niaga

SHAH ALAM, 7 OGOS: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) sekali lagi mempelawa peniaga bawah seliaannya mengikuti program keusahawanan bagi memantapkan lagi ilmu perniagaan mereka.

Agensi itu di Facebook memaklumkan lima program pembangunan berkenaan meliputi latihan keusahawanan, pengurusan ejen, rangkaian perhubungan, bimbingan perniagaan dan pengurusan kewangan.

“Terdapat pelbagai program latihan dan bimbingan yang disediakan khas untuk usahawan Hijrah bagi memantapkan lagi ilmu perniagaan anda.

“Hijrahkan perniagaan anda bersama Hijrah Selangor,” katanya selain memaklumkan prapendaftaran boleh dibuat menerusi pautan https://docs.google.com/…/1FAIpQLSecN5Df2KRZcH…/viewform

Selain menganjurkan program keusahawan, Hijrah juga melaksanakan program kompas keusahawanan yang berperanan membantu usahawan meningkatkan hasil perniagaan.

Menerusi program itu, usahawan dibimbing bagi meningkatkan potensi diri supaya mempunyai hala tuju jelas dalam perniagaan yang sedang diusahakan.

Sepanjang tempoh Januari hingga Jun, seramai 4,113 usahawan menerima pembiayaan perniagaan RM69.01 juta daripada Hijrah menerusi tujuh skim pembiayaan meliputi i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim.


Pengarang :