Cuaca hujan lebat di sekitar ibu kota Kuala Lumpur pada 18 Julai 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hujan lebat diramal landa tiga daerah di Selangor, KL hingga 7 malam

SHAH ALAM, 17 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan tiga daerah sehingga 7 malam ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan daerah di negeri ini dijangka berdepan keadaan itu ialah Gombak, Petaling dan Hulu Langat.

Situasi sama diramal di negeri lain antaranya Perak melibatkan Larut, Matang dan Selama, Kampar dan Batang Padang; Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu dan Bachok), Terengganu (Dungun dan Kemaman), Pahang (Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor (Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).

Manakala di Sarawak ialah Kuching, Serian dan Samarahan (Samarahan dan Asajaya) serta Sabah iaitu Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :