Kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam dinaiki air hampir satu meter susulan hujan lebat sejak jam 4 petang pada 20 Ogos 2022 .Foto Facebook Nik Syukriah Ami
EXCOSELANGOR

Hujan sangat lebat, rekod taburan tertinggi dalam sejam punca banjir kilat

SHAH ALAM, 23 OGOS:  Hujan lebat dengan bacaan jumlah taburan terkumpul  92.5 milimeter (mm) punca banjir kilat di Taman Sri Muda di sini, pada Sabtu lalu.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata hujan bermula jam 12 tengah hari hingga 8 malam itu juga merekodkan taburan 59.5 mm dalam tempoh sejam yang dikategorikan sangat lebat.

“Dakwaan mengatakan pintu air pasang surut lewat dibuka sehingga menyebabkan banjir adalah tidak benar sama sekali.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor telah melaksanakan operasi tebatan banjir melibatkan pengoperasian pintu air pasang surut dan sistem pam mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media rancangan Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah banjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan pintu air pasang surut dioperasikan dalam keadaan ‘tutup’ semasa curahan hujan berikutan paras air Sungai Rasau melebihi paras air saliran parit utama Taman Sri Muda.

“Malah ketika itu paras air Sungai Klang juga tinggi akibat pengaruh air laut pasang. Namun situasi terkawal selepas JPS mengaktifkan pengoperasian semua pam yang ada secara automasi.

“Semua aset pam banjir dengan kapasiti 8,960 liter per saat menurunkan paras air dalam saliran parit utama di Taman Sri Muda.

“Pemantauan di tapak mendapati tiada limpahan air di Sungai Klang, saliran parit utama serta kolam takungan banjir pada jam 4 petang hingga 7 petang,” katanya.


Pengarang :