Kanak-kanak kelainan upaya mengikuti sesi pembelajaran di Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) Seksyen 7, Shah Alam ketika tinjauan pada 6 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIEXCOSELANGOR

Ibu bapa teruja, prasekolah khas negeri mesra anak istimewa

SHAH ALAM, 6 OGOS: Ibu bapa peserta Anak Istimewa Selangor (AnIS) teruja dan tidak sabar melihat anak mereka mengikuti kelas Prasekolah Khas AnIS di Jalan Plumbum 7/100A, Seksyen 7 di sini.

Suri rumah, Nik Fadilah Nik Ibrahim, 37, berkata beliau terharu dengan keprihatinan Kerajaan Negeri yang menyediakan kemudahan selesa kepada anaknya.

“Langkah Kerajaan Negeri memperkenal AnIS memberi ruang yang selesa kepada kanak-kanak istimewa.

“Di sini ruang dan persekitarannya baik, guru yang boleh dipercayai untuk mengajar anak-anak istimewa ini. Ibu bapa lain perlu mengambil peluang yang disediakan ini,” katanya.

Beliau antara puluhan ibu bapa yang hadir mendaftarkan anak mengikuti kelas berkenaan di sini hari ini.

Kontraktor elektrikal, Amirul Amri Abdul Khalid, 30, turut berpuas hati dengan kemudahan disediakan dan menyeru ibu bapa yang mempunyai anak autisme turut mendaftarkan anak mereka.

“Persekitaran sekolah ini memang sesuai dan amat selesa untuk kanak-kanak autisme.

“Jadi bagi mereka yang mempunyai anak autisme memang sesuai dan ambillah peluang untuk mendaftar di sini,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Zamry Zakaria, 41, berkata dia membawa anak lelakinya yang lambat bercakap menjalani saringan.

“Anak saya baru berusia empat tahun dan hanya boleh masuk ke sini pada tahun hadapan. Jadi saya harap anak saya tidak berhadapan masalah untuk masuk ke sini nanti.

“Program hari ini secara tidak langsung membantu ibu bapa mendapat ilmu mengurus anak istimewa,” katanya yang mengetahui kelas berkenaan melalui radio.

Ibu bapa yang berminat boleh membuat pendaftaran awal melalui pautan https://bit.ly/3ShFTwN dan maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh menerusi laman sesawang https://www.anisselangor.com/pusatanis

Syarat kelayakan permohonan seperti berikut:

– Warganegara Malaysia
– Ibu, bapa atau penjaga lahir di Selangor atau menetap di Selangor minimum 10 tahun
– Golongan berpendapatan rendah (B40) atau menengah (M40)
– Murid pernah mengikuti program intervensi awal minimum setahun


Pengarang :