Kakitangan Jabatan Imigresen ketika bertugas di kaunter bahagian permohonan pasport di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 11 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Imigresen: Lebih 9,000 pasport tidak dituntut

PUTRAJAYA, 11 OGOS: Lebih 9,000 Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) telah dicetak tetapi masih tidak dituntut oleh individu yang memohon dan memperbaharui pasport berkenaan secara dalam talian, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang telah membuat permohonan PMA untuk mengambilnya dengan segera di pejabat pengeluar pasport seluruh negara bagi mengelak pasport berkenaan dibatalkan.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata rakyat Malaysia yang telah memperbaharui pasport secara dalam talian perlu menuntut segera dokumen berkenaan bagi mengelak daripada dilupuskan dalam tempoh 90 hari.

Khairul Dzaimee dalam kenyataan sama turut memaklumkan waktu operasi baharu bagi semua pejabat pengeluar PMA dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Semenanjung Malaysia berkuat kuasa 15 Ogos ini berikutan trend statistik permohonan PMA yang semakin berkurangan pada sesi malam.

Pejabat pengeluar PMA di semua negeri dan cawangan beroperasi bermula 8 pagi hingga 7 malam pada hari bekerja kecuali bagi negeri Perlis, Pahang, Terengganu dan Kedah yang beroperasi mulai 8 pagi hingga 5 petang

Sementara itu, pejabat pengeluar PMA di semua negeri dan cawangan pula beroperasi bermula 8 pagi hingga jam 12.30 tengah hari pada hari Sabtu kecuali bagi Perlis, Pahang, Terengganu dan Kedah.

Pejabat UTC pula beroperasi dari 8 pagi hingga 9 malam pada hari bekerja kecuali bagi negeri Perlis, Pahang, Terengganu dan Kedah beroperasi dari 8 pagi hingga 5 petang.

Semua pejabat UTC termasuk Perlis, Pahang, Terengganu dan Kedah beroperasi dari 8 pagi hingga 5 petang pada hujung minggu.

Sebelum ini, waktu pengoperasian di enam pejabat pengeluar pasport dan kaunter Jabatan Imigresen dipanjangkan hingga 10 malam manakala enam lagi telah dilanjutkan hingga 6 petang sejak 11 Mei lepas bagi mengatasi kesulitan rakyat Malaysia dalam mendapatkan PMA.

Enam premis yang dipanjangkan waktu operasi hingga 10 malam ialah Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, manakala Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis dilanjutkan hingga 6 petang.

– BERNAMA


Pengarang :