EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud meninjau program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Influenza A: Selangor sedia tawar vaksin percuma untuk kanak-kanak

SHAH ALAM, 7 OGOS: Kerajaan Selangor bercadang menawarkan vaksin kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun sekiranya kes influenza A di negeri ini tidak mencatat aliran penurunan.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata vaksin tersebut ditawar secara percuma kepada ibu bapa yang berdaftar di bawah program Iltizam Selangor Sihat (ISS).

Menurutnya, kanak-kanak terbabit boleh mendapatkan suntikan vaksin berkenaan di klinik panel berdaftar menerusi inisiatif itu.

“Sebelum ini kita mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) untuk melihat keperluan untuk menawarkan vaksin itu kepada kanak-kanak.

“Jadi mereka yang sudah berdaftar dengan Skim Peduli Sihat atau kini dikenali sebagai ISS boleh mendapatkan suntikan vaksin tersebut untuk anak secara tahunan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Utama di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata vaksin influeza A antara yang tidak disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbanding vaksin merawat polio dan cacar.

“Jika individu mahu vaksin itu (influenza A) mereka perlu bayar sendiri, sebab itu kita cadang berbuat demikian,” katanya lagi.


Pengarang :