EXCO Hal Ehwal Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam sesi wawancara bersama Media Selangor di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Jais bakal perinci laporan ajaran Hadi Minallah tersebar di Selangor

SHAH ALAM, 25 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan memperinci laporan berkaitan ajaran sesat Hadi Minallah yang didakwa turut dikesan di negeri ini.

EXCO Hal Ehwal Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata siasatan itu meliputi sama ada ajaran terbabit melibatkan warga tempatan atau sebaliknya, lapor Sinar Harian.

“Kita setakat ini masih menunggu siasatan dan laporan penuh berkenaan. Kenyataan lanjut akan dikeluarkan Jais dalam tempoh terdekat,” katanya.

Jabatan agama itu sebelum ini dilapor akan membentangkan perkembangan terkini ajaran Hadi Minallah dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengawalan Akidah yang berlangsung hari ini.

Ia susulan pendedahan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Ahmad Marzuk Shaary bahawa sebaran ajaran sesat berkenaan turut dikesan di Selangor, Johor dan Kedah.

Pada 8 Ogos, Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Idris Ahmad memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengenal pasti pusat operasi kumpulan itu dan akan mengambil tindakan lanjut.


Pengarang :