Jemaah menunaikan solat Tarawih di Masjid Al-Khairiyah Gombak pada 2 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jais: Sultan titah pembesar suara ceramah agama terhad dalam rumah ibadat

SHAH ALAM, 10 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melarang penggunaan pembesar suara luar untuk aktiviti ceramah atau program kuliah sejak Oktober 2017.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata arahan dikeluarkan kepada pentadbir masjid dan surau selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Jelasnya Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah supaya pembesar suara luar hanya diguna untuk tujuan azan serta bacaan ayat Al-Quran yang pendek sebelum masuk waktu solat.

“Baginda menitahkan penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah dihadkan dalam ruang atau dewan masjid dan surau sahaja.

“Titah baginda itu supaya imej dan kemuliaan agama Islam sebagai sistem cara hidup yang sempurna, dinamik dan sentiasa mementingkan kesejahteraan masyarakat serta dapat dirasai semua pihak seterusnya menjadi contoh teladan baik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan portal berita berhubung tindakan seorang lelaki yang didakwa mengamuk di Ampang Campuran pada Ahad, dipercayai berkait dengan penggunaan pembesar suara semasa kuliah subuh.

Mohd Shahzihan berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor No.9 Tahun 1995.

“Siasatan dibuat kerana disyaki berlakunya pelanggaran titah DYMM Tuanku Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam negeri,” katanya.


Pengarang :