Datuk Bandar Petaling Jaya, Azhan Md Amir (tengah) bersama kakitangan mengibarkan Jalur Gemilang ketika program Semarak Jalur Gemilang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di perkarangan Ibu Pejabat MBPJ, Petaling Jaya pada 19 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Jalur Gemilang gergasi hiasi Menara MBPJ sempena Hari Kebangsaan

PETALING JAYA, 19 OGOS: Buat julung kalinya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mengibarkan dua Jalur Gemilang berukuran gergasi sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya berkata bendera Malaysia setinggi bangunan 10 tingkat itu akan dikibarkan di Menara MBPJ pada minggu hadapan.

“Mengambil semangat kemerdekaan pada tahun ini, buat pertama kalinya kita akan kibarkan Jalur Gemilang gergasi di MBPJ.

“Kita akan kibarkan di bahagian hadapan Menara MBPJ pada 22 Ogos ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Semarak Jalur Gemilang MBPJ di perkarangan Ibu Pejabat MBPJ di sini hari ini.

Mohamad Azhan Md Amir berkata MBPJ juga sudah mengedarkan 20,000 Jalur Gemilang kepada setiap premis dan 10,000 bendera kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Katanya, MBPJ juga turut mengadakan pertandingan kibar Jalur Gemilang selain program dan aktiviti menarik sepanjang sambutan Hari Kemerdekaan.

“Usaha ini diharap sedikit sebanyak dapat menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga kota untuk menghargai sebuah kemerdekaan,” katanya.


Pengarang :