ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli ketika membahaskan usul perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 26 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jawatan ADN tanpa kawasan perkasa wanita sebagai pembuat keputusan 

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kerajaan Negeri dicadang mewujudkan jawatan wakil rakyat tanpa kawasan untuk wanita dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bagi memperkasa peranan golongan itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata dasar itu bagi memastikan sasaran 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan berjaya dicapai.

“Dalam mendaya upaya usaha kepimpinan wanita untuk diangkat sebagai pembuat keputusan, saya mencadangkan pelan tindakan jangka panjang dapat dilaksana seperti di Dewan Negeri Sabah.

“Terdapat banyak kajian sekiranya lebih ramai golongan ini dalam pembuat keputusan, maka lebih banyak dasar dan program akan memberi kesan positif kepada wanita dan keluarga,” katanya.

Bercakap ketika membahaskan RS-1 dalam sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini, beliau turut menyokong agenda pelan itu yang menyasar 75 peratus wanita dalam pasaran kerja menjelang 2025.

“Saya menyambut baik golongan wanita untuk terus bekerjaya dan berharap lebih ramai kembali menyumbang bakti kepada pembangunan negara. Saya harap sasaran ini disusuli tindakan,” katanya.

RS-1 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar pada 27 Julai lalu menjadi kerangka pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun melibatkan nilai keseluruhan RM212.44 bilion.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM92.44 bilion disalur kepada projek pembangunan peringkat negeri termasuk pelaksanaan beberapa insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.

 


Pengarang :