Dua pasukan bertarung dalam pertandingan Kabaddi Piala Muhibbah Klang di Dewan Sukan Andalas, Taman Sri Andalas, Klang pada 14 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Jawatankuasa Majlis Penasihat India Selangor disertai wakil rakyat

SHAH ALAM, 15 OGOS: Majlis Penasihat India Selangor (SICC) yang ditubuh Kerajaan Negeri turut disertai wakil rakyat, kata Ahli Parlimen Klang.

Charles Santiago berkata wakil rakyat yang terdiri ahli parlimen dan Ahli Dewan Negeri (ADN) akan dilantik dalam jawatan ex-officio.

“SICC ini terdiri daripada beberapa ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin komuniti perniagaan, bekas penjawat kanan kerajaan, pendidik dan pemimpin akar umbi.

“SICC ini bertindak sebagai penasihat perkara yang berkaitan dengan masyarakat India. Semua wakil rakyat di Selangor, seperti ahli parlimen dan ADN turut akan dilantik dalam jawatan ex-officio SICC,” katanya di Twitter.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar berkata beberapa individu profesional dalam sektor ekonomi dilantik menganggotai SICC.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka ialah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) Manokaran Mottain dan Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur serta Selangor (KLSICCI) Nivas Ragavan.

Turut dilantik Pengarah MySkill Foundation Pasupathi Sithamparam, Pengarah Eksekutif 27 Group Girish Ramachandran serta enam individu lain.

Beliau memaklumkan SICC bertindak sebagai penasihat kepimpinannya selain mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri bagi pembangunan masyarakat India.

“Penubuhan ini penting supaya Kerajaan Negeri mendapat maklum balas berkenaan urus tadbir dalam kalangan masyarakat.

“Ini merupakan langkah alternatif atau menjadi sumber kedua untuk masyarakat menyalurkan harapan serta pandangan mereka kepada pentadbiran negeri,” katanya.


Pengarang :