Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat gerai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selepas merasmikan program Jelajah Selangor Penyayang di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Jelajah Selangor Penyayang peluang terbaik rakyat tahu inisiatif negeri

SHAH ALAM, 1 OGOS: Pengunjung Jelajah Selangor Penyayang semalam menyifatkan program itu adalah medan terbaik untuk rakyat mendapatkan maklumat berkaitan inisiatif negeri.

Pengunjung Zaitun Che Mat, 55, berkata beliau menghadiri program itu bersama keluarganya untuk mendapatkan maklumat mengenai skim rumah mampu milik di Selangor.

Zaitun Che Mat, 55.

“Saya datang bersama suami dan anak untuk bertanya mengenai skim rumah mampu milik di Selangor. Alhamdulillah maklumat yang diberi petugas amat membantu.

“Saya memuji program seperti ini dan patut diteruskan kerana banyak inisiatif dilaksana negeri adakalanya tidak semua kita tahu, tetapi di sini kita boleh tahu,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau antara ribuan pengunjung yang memeriahkan Jelajah Selangor Penyayang di Padang Awam Batu Caves di sini.

Tarmizi Kamaruddin, 48, pula berkata program itu membantu individu yang tidak berkesempatan menyelesaikan urusan berkaitan kerana bekerja pada hari biasa.

“Di sini ada disediakan pelbagai kaunter jabatan dan agensi kerajaan. Sekiranya kita tidak sempat untuk ke pejabat terbabit pada hari bekerja kita boleh ke sini pada hari hujung minggu seperti ini.

“Selain kaunter bergerak, kita juga boleh bawa anak-anak untuk menyertai pelbagai aktiviti atau sukan rakyat yang disediakan,” katanya.

Sementara itu, K Annathurai, 52, berkata beliau hadir seawal jam 9 pagi kerana tidak mahu melepaskan peluang menyertai program Selangor Saring yang diadakan secara percuma.

K Annathuai, 52.

“Saya pun sudah lama tidak membuat pemeriksaan kesihatan, jadi apabila adanya program percuma seperti ini saya rasa ia amat membantu terutama kepada golongan B40.

“Saya berharap program diteruskan dan ditambah baik dengan pelbagai lagi inisiatif menarik,” katanya.

Jelajah yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, acara sama berlangsung di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat Stadium Utama Kuala Selangor dan Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya.


Pengarang :