Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyiram air mawar ke atas pusara Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Makam Diraja Shah Alam pada 1 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jenazah Abdul Khalid selamat disemadi di Makam Diraja Shah Alam

SHAH ALAM, 1 OGOS: Jenazah mantan menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selamat disemadikan di Makam Diraja Shah Alam di sini jam 2.30 petang tadi.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan ke majlis pengebumian tersebut diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor Dr Ahmad Shahir, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad dan Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham yang juga menteri besar Selangor ke-14 dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi dan dikafankan.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam jam 11 pagi untuk membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir sebelum disemadikan.

Allahyarham Abdul Khalid, 76, meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur jam 11.08 malam tadi akibat jangkitan pada injap jantung.

Allahyarham yang merupakan anak jati Jeram, Kuala Selangor meninggalkan seorang isteri Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak dan dua cucu.


Pengarang :