Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah sempena Jualan Prihatin Rakyat Aidiladha di Jalan Kantan 2, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 6 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah dapat sambutan, penduduk minta program lebih kerap

SHAH ALAM, 13 OGOS: Sebanyak 200 ekor ayam habis dijual dalam tempoh tiga jam penganjuran Jualan Prihatin Rakyat di Pelabuhan Klang hari ini.

Penolong pengurus jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata 100 papan telur serta 170 paket minyak masak turut terjual dalam tempoh sama selepas mendapat permintaan tinggi penduduk.

“Tiga produk utama ini sangat laku kerana harga ditawarkan lebih murah berbanding pasaran. Penduduk ambil peluang datang ke jualan hari ini untuk membeli keperluan mereka.

“Penduduk minta program jualan ini kerap dilakukan kerana membantu ringankan beban belanja dapur. Kita akan bincangkan perkara ini supaya lebih ramai dapat manfaat,” kata Mohd Firdaus Masori ketika dihubungi.

Program bermula 8 pagi tadi di padang berhadapan Sekolah Kebangsaan Pelabuhan Utara menjual pelbagai barangan asas dengan harga murah.

Antaranya ayam dijual RM13 seekor, minyak masak (RM2.50 sekilogram), telur ayam gred B (RM12.50 sepapan), daging (RM39 per pek), sayur dan buah-buahan (harga dari ladang) serta ikan (RM10 per pek).

Program bertujuan mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang itu akan diteruskan esok di Kampung Sri Indah B, Sungai Buloh.

Pada Rabu, Pengurus Kanan Pemasaran PKPS Md Fazir Abdul Latif berkata pihaknya akan menjelajah ke 160 lokasi seluruh negeri bagi memasarkan barangan keperluan sehingga akhir tahun ini.


Pengarang :