Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan ketua jabatan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam di Dewan Jubli Perak, SUK Selangor. 13 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Kadar gaji minimum RM1,600 perlu ambil kira kedudukan kewangan syarikat

SHAH ALAM, 2 OGOS: Penetapan kadar gaji minimum RM1,600 bagi pekerja di Selangor perlu mengambil kira kedudukan kewangan sesebuah syarikat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan Kerajaan Negeri tidak boleh mengumumkan dasar populis kerana dikhuatiri memberi kesan jangka panjang terutama daripada aspek kewangan.

“Kita ambil maklum hal tersebut dan ia akan diteliti Yang Berhormat Ganabatirau yang bertanggungjawab dalam urusan pemberdayaan pekerja.

“Peningkatan (gaji) mungkin RM100 (daripada RM1,500) terlalu kecil, tetapi kita juga ingin lihat kedudukan kewangan syarikat terbabit supaya tidak terlalu membebankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan usul Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sebelum ini, ketika membahas RS-1 wakil rakyat Kota Damansara Shatiri Mansor meminta penjelasan berhubung kadar gaji minimum pekerja di negeri ini dinaikkan kepada RM1,600.

Kerajaan Persekutuan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei membabitkan syarikat-syarikat besar dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan.

 

 


Pengarang :