Ketua Operasi Air Selangor Ir Abas Abdullah (tiga, kanan) memberi taklimat kepada media ketika sesi lawatan di LRA Semenyih 2 Dengkil, Sepang pada 18 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kaedah guna air kolam ketika tercemar elak henti tugas loji air

SEPANG, 18 OGOS: Tiga loji rawatan air (LRA) di Selangor melaksanakan kaedah Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) sekali gus mengurangkan risiko henti tugas sekiranya berlaku pencemaran.

Ketua operasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pelaksanaan itu membolehkan LRA Semenyih 2, Labohan Dagang serta Sungai Labu menggunakan air takungan kolam jika sumber air mentah tercemar.

“Setiap loji ini mempunyai kolam takungan masing-masing. Kolam ini terletak di kawasan hilir pinggir sungai atau berhampiran loji.

“Jika sumber air tercemar, kita akan tutup loji dan guna air takungan dari kolam ini. Kita lihat kaedah ini berkesan,” kata Ir Abas Abdullah pada sidang media di LRA Semenyih 2, hari ini.

Ketua Operasi Air Selangor Ir Abas Abdullah menjawab soalan ketika sidang media selepas lawatan bersama media di LRA Semenyih 2 Dengkil, Sepang pada 18 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurutnya, TAPS bakal diperluas ke LRA Sungai Rasau yang dijangka siap pada pertengahan 2025 membabitkan peruntukan RM3 bilion.

“Ketika ini loji berkenaan menghasilkan kapasiti 700 liter sehari tetapi bila dilaksanakan nanti sejumlah 1,400 liter air dapat diagih,” katanya.

Sementara itu Abas berkata setakat ini hanya tiga kejadian pencemaran yang mengakibatkan loji rawatan terpaksa dihenti tugas.

“Pelbagai kaedah dilakukan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan untuk atasi pencemaran. Antaranya projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) dan anggota yang memantau sumber air,” katanya.


Pengarang :