EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (dua, kiri) melancarkan Buah Naga ‘Pink Ruby’, baka baharu hasil kajian peladang muda, Eugene Chia (kanan) di Pavillion Selangor ketika Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS, Serdang pada 6 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kajian dua tahun berbaloi, peladang muda hasil baka baharu buah naga

SERDANG, 7 OGOS: Penat jerih seorang pengusaha ladang buah naga dari Sepang melakukan kajian dan penyelidikan (R&D) selama dua tahun berbaloi apabila berjaya mengeluarkan baka jenis baharu dikenali ‘Pink Ruby’.

Meski beberapa kali cubaannya gagal, Eugene Chia, 25, bangga apabila inovasi kreatif melalui kacukan benih buah naga merah dan isi buah naga putih menampakkan hasil berwarna merah jambu

Menurutnya, idea untuk mengeluarkan genetik baharu tercetus kerana mahu mencipta kelainan, apatah lagi semakin ramai menceburi bidang penanaman buah naga.

Pengarah Urusan Hong Long International Group Sdn Bhd Eugene Chia

“Kita lihat di pasaran sudah banyak buah naga kulit warna merah, kuning dan putih, jadi saya cuba gabungkan genetik sedia ada dan jadikan varieti baharu supaya hasilnya lain daripada yang lain.

“Saya buat R&D dua tahun bagi melihat kesesuaian kacukan benih tersebut. Awalnya memang tidak menjadi, warna pun tidak keluar, tetapi lama-kelamaan berhasil seperti yang dilihat ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis melancarkan buah naga berkenaan di Pavilion Selangor sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Maeps, Serdang, semalam.

Kini buah naga berbentuk bujur itu diusahakan atas tanah seluas 10 ekar di Lot 7608, Jalan Besar Batu Satu, Sepang, iaitu kira-kira 66 kilometer dari Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, anak bongsu daripada tiga beradik berkata buah tersebut turut diproses menjadi produk lain seperti kerepek, roti, nasi lemak, jus dan teh.

Beliau juga berhasrat memasarkan produk berkenaan ke luar negara berikutan belum ada usahawan menghasilkan makanan berasaskan buah naga.

“Jadi kami sekeluarga sedang buat ujian pasaran (test market) untuk eksport produk berasaskan buah naga ke luar, namun buat masa ini produk berkaitan masih dalam pasaran tempatan.

“Sambutan terhadap semua produk sangat baik, sama ada daripada masyarakat tempatan mahupun pelancong asing,” tambah anak jati Sepang yang sudah lapan tahun bergelar pengusaha ladang buah naga.


Pengarang :