Pengarah JKDM Kelantan Mohd Nasir Deraman (dua, kanan) bersama para pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 1.4 tan daun ketum yang dirampas pada sidang media di JKDM Rantau Panjang pada 11 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Kastam rampas 5.8 tan daun ketum, dipercayai untuk seludup negara jiran

PASIR MAS, 11 OGOS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas sebanyak 5.8 tan daun ketum dari Januari hingga setakat ini dengan nilai keseluruhan berjumlah hampir RM60,000.

Pengarahnya, Mohd Nasir Deraman berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 343 kilogram (kg) sahaja pada tahun lepas.

“Kemungkinan harga daun ketum yang semakin meningkat ekoran permintaan tinggi termasuk dari negara jiran sehingga menyebabkan banyak daun ketum dibawa masuk ke negeri ini.

“Kita percaya daun ketum ini juga cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui pangkalan-pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Nasir berkata dalam perkembangan terbaru, pasukan operasi JKDM Rantau Panjang berjaya mematahkan pengedaran daum ketum berjumlah 1.45 tan pada pukul 4 pagi semalam selepas menahan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat dekat Ketereh, Kota Bharu.

Katanya, seorang pemandu lori berusia 40-an ditahan dan pemeriksaan ke atas lori menemui 145 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum bernilai RM14,500.

“Suspek mengaku memperolehi daun ketum tersebut dari Kedah dan untuk pasaran tempatan di sekitar Kelantan.

JKDM Kelantan juga sedang mengesan pemilik daun ketum ini dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya,” katanya.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :