Zii Jia berjaya menewaskan lawan dari Portugal Bernardo Atilano 21-9, 21-13 dalam saingan pusingan kedua kejohanan badminton dunia di Tokyo, Jepun pada 24 Ogos 2022. Foto Facebook Persatuan Badminton Malaysia
AGENDASUKANKINI

Kejohanan Dunia: Zii Jia mara pusingan ketiga, lawan pemain China esok

SHAH ALAM, 24 OGOS:: Pemain perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun.

Zii Jia berjaya menewaskan lawannya dari Portugal, Bernardo Atilano 21-9, 21-13 dalam tempoh 36 minit di pusingan kedua, lapor portal Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Zii Jia dijangka berdepan cabaran sengit di pusingan ketiga daripada pemain China Zhao Jun Peng yang menewaskan Srikanth Kidambi dari India 21-9, 21-17 di pusingan kedua.

Turut mengikut jejak langkah Zii Jia adalah beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah yang menewaskan wakil India, Treesa Jolly-Gayatri Pullela 21-8, 21-17.

Pilihan ke-10 kejohanan yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham itu mempamer aksi meyakinkan untuk menewaskan lawan mereka dalam tempoh 36 minit.

Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diletakkan selaku pilihan keenam kejohanan pula menyingkirkan pasangan Taiwan Lu Ching Yao-Yang Po Han 22-20, 21-18 dalam tempoh 42 minit

Mereka akan bertemu rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada pusingan ketiga, esok.

Terdahulu Sze Fei-Nur Izzuddin tidak berdepan masalah menewaskan wakil Ireland, Joshua Magee-Paul Reynolds 21-13, 21-12 pada pusingan kedua, hari ini.


Pengarang :