Litar lumba rakyat di Kuala Selangor yang melahirkan ramai jaguh sukan motosikal termasuk Syarifuddin Azman yang menjadi juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Sepanyol pada 13 Jun 2021.
AGENDANASIONAL

Kerajaan cadang bina litar lumba permotoran di setiap negeri

KUALA NERUS, 13 OGOS: Cadangan pembinaan litar untuk perlumbaan drag di setiap negeri, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, merupakan sesuatu yang amat dinantikan peminat sukan permotoran.

Seorang peminat sukan permotoran Mohamad Amin Anuar Azman, 23, berkata pembinaan litar seperti yang dicadangkan itu membolehkan golongan muda mengasah bakat dalam bidang permotoran, sekali gus berupaya melahirkan pelumba profesional pelapis negara pada masa hadapan.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman tersebut. Ia juga akan menangkis tanggapan buruk masyarakat terhadap golongan yang meminati motosikal seperti kami sehingga ada yang menggelarkan kami mat rempit dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Bernama pada Program RXZ Members 4.0 Tahun 2022 di Terengganu International Drag Strip di Gong Badak dekat sini hari ini.

Program anjuran Kelab Sukan Rekreasi Terengganu X Pacers itu dirasmikan Ismail Sabri dengan turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mohamad Amin Anuar yang datang ke Terengganu dari Kota Bharu, Kelantan bersama 30 rakannya dengan menunggang motosikal Yamaha RXZ masing-masing berharap agar cadangan pembinaan litar tersebut akan dapat segera dilaksanakan.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan program itu, Ismail Sabri berkata kerajaan bercadang untuk membina sebuah litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri dalam usaha memperkasakan program pembangunan sukan permotoran di dalam negara.

Perdana Menteri berkata cadangan berkenaan akan dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang Oktober ini.

Dalam pada itu, Che Nadiah Che Musa, 35, turut menyokong cadangan tersebut kerana pembinaan litar itu akan membantu mengeratkan hubungan silaturahim antara peminat sukan permotoran.

“Mungkin ramai yang tidak tahu kumpulan-kumpulan motosikal ini sebenarnya ada kebaikannya seperti mengajar ahli-ahli untuk bekerjasama. Sebagai contoh sekiranya ada pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan kenderaan atau kemalangan, kumpulan-kumpulan motosikal ini yang akan segera membantu walaupun mereka tidak saling mengenali.

“Cadangan pembinaan litar itu juga boleh menarik anak-anak muda yang selama ini hanya menunjukkan bakat mereka di atas jalan raya yang membahayakan nyawa orang ramai dengan beralih ke litar yang akan disediakan nanti. Jadi di situ lokasinya lebih selamat,” katanya.

Che Nadiah yang datang dari Kerteh di Kemaman itu turut berkata program permotoran seperti Program RXZ Members 4.0 Tahun 2022 wajar diperbanyakkan lagi kerana ia membantu peminat sukan permotoran meluaskan rangkaian kenalan mereka.

Program hari ini adalah kali keempat dihadiri Che Nadiah sejak 2017 dan pekerja swasta itu datang dengan menunggang sendiri motosikal Yamaha RXZ miliknya.

-BERNAMA


Pengarang :