Sukarelawan menanam anak pokok bakau dalam program penanaman pokok anjuran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Jabatan Perhutanan Selangor di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih, Sepang pada 27 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri pantau lokasi tumpuan curi pokok bakau

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kerajaan Negeri sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang menjadi tumpuan aktiviti menebang dan mencuri pelbagai spesies pokok bakau.

Menurut EXCO pelancongan dan alam sekitar antaranya kawasan pesisir pantai dan hutan paya seperti Pulau Ketam, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Kerajaan Selangor memandang serius kegiatan menebang dan mencuri pelbagai spesies pokok bakau bagi tujuan komersial.

“Hasil siasatan mendapati ia didalangi pihak tertentu berikutan pokok bakau mendapat permintaan tinggi terutama dalam sektor pembinaan untuk dijadikan kayu cerucuk,” katanya lapor Sinar Harian.

Justeru, Hee Loy Sian berkata, rondaan dan operasi penguatkuasaan secara berkala dilaksanakan bagi membanteras aktiviti haram tersebut.

“Kami memang ada menerima laporan kecurian dan pencerobohan pokok bakau ini, namun berdepan kekangan kerana tidak dapat memantau 24 jam kerana kawasan pencerobohan yang luas,” katanya selepas majlis pelepasan program 5,000 Fun Walk Taman Alam sempena Karnival Kuala Selangor hari ini.

Tambah beliau, penguatkuasaan dilakukan setiap hari termasuk pemantauan melalui udara menggunakan dron.

“Kita juga mengadakan serbuan dan pemeriksaan berjadual serta masuk ke kawasan hotspot untuk memerangi kegiatan ini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebabkan kemusnahan alam semula jadi mengikut undang-undang sedia ada.

Mengenai Karnival Kuala Selangor, Loy Sian berkata, program anjuran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) itu membabitkan semua lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah.

Katanya, sebanyak 800 pokok bakau minyak ditanam di Taman Alam Kuala Selangor bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan spesies itu bagi mencegah hakisan pantai dan memulihara habitat asal supaya anak ikan, udang serta ketam dapat terus membiak.


Pengarang :