BUDAYARENCANA

Ketika saya dipeluk Aisyah

Oleh Amir Azmi

Ilustrasi: Fahmi Mustaffa

 

Saya terjaga apabila merasakan rumah kami bergegar kuat.

Buka saja mata, saya lihat semua kaum keluarga kami sedang melompat kekecohan. Mak datang menghampiri saya.

“Kita kena pergi dari sini. Mereka datang nak musnahkan tempat kita,” kata mak sambil kedua tangannya memegang kepala saya.

Kemudian, Abang melompat dari atas dan mendarat di depan kami.

“Pergi dulu ikut yang lain. Abang akan cuba lambatkan mereka,” kata Abang.

Mak melarang Abang. Mak memegang tangan Abang untuk tak bagi dia pergi. Tapi Abang berkeras. Dia melepaskan tangannya dari tangan Mak.

Dari dahan tempat kami berdiri, Abang melompat ke bawah.

Sebuah jentera besar berwarna kuning sedang menyondol pokok kami. Saya hanya melihat dari atas sambil memeluk Mak yang sedang menangis. Kenapa mereka nak menumbangkan rumah saya yang hanya sebatang pokok kecil di atas bukit? Saya tak faham apa yang sedang berlaku.

Dari jauh nampak Abang menyerang manusia yang mengemudi jentera itu. Abang menyerang orang yang tiga kali ganda dari saiznya.

Kemudian mereka bergelut. Ada seorang lagi manusia di tepi jentera itu. Dia memegang senapang patah, datang membantu rakannya yang diserang.

Tidak lama kemudian, terdengar bunyi tembakan yang kuat di bawah. Bam!

Ketika itu kepala saya sudah dalam pelukan mak, mata saya sudah tertutup.

Bunyi kekecohan kaum keluarga saya yang sedang melompat-lompat dari dahan ke dahan terhenti seketika.

Daripada cerita yang saya dengar, darah merah Abang terpercik atas badan jentera besar yang berwarna kuning itu. Dari jauh warna itu nampak seperti bendera negara yang manusia selalu kibarkan. Itu kata kaum keluarga saya yang lain.

***

Beberapa minggu berlalu, kawasan tempat rumah kami berdiri dulu dan sekitarnya, sudah jadi rata dan lapang seperti Negara Pasir Dua Butir di dalam filem Laksamana Do Re Mi.

Saya melihat beberapa orang manusia sedang membuat kerja di situ. Mereka sedang mengorek tanah kemudian menanam anak pokok. Mereka dah musnahkan kawasan yang dulunya hijau hanya untuk menanam pokok semula? Mereka ini tidak sebijak yang mereka nampak.

Saya dan Mak bergayut dan melompat dari dahan ke dahan. Kami turun ke kaki bukit, menuju tempat rumah baru kami. Dari rumah baru kami, dapat dilihat beberapa buah rumah kecil manusia tidak jauh dari situ.

Berdekatan kawasan rumah, saya dan Mak turun ke tanah untuk mencari sedikit makanan.

Saya terlihat sebiji pisang tidak jauh di depan saya dan meluru ke arahnya. Sebelum Mak sempat melarang, saya telah termasuk jaring perangkap yang entah muncul dari mana. Saya telah terkena perangkap manusia. Mak cuba menggigit tali jaring untuk bantu membebaskan saya.

Sebelum saya sempat menyuruh Mak lari, seorang manusia telah melempar jaring kepada Mak.

Kami berdua dibawa pulang ke rumah manusia itu, sebuah rumah di kaki bukit. Mungkin rumah kecil yang dapat dilihat dari rumah kami itu. Dalam reban ayam yang kosong di belakang rumah, itulah tempat kami disimpan. Syukur manusia itu agak baik kerana menjaga kami dengan baik.

Anak perempuan manusia itu melayan kami dengan mesra. Saya dengar dia dipanggil dengan nama Aisyah.

***

Aisyah melayan saya dengan baik. Saya diberi keluar reban sekali sekala tetapi dengan leher berantai. Saya diberi makan buah-buahan yang sedap dan segar. Betik, pisang, kelapa, cendawan dan keropok jingga yang rasa pelik itu.

Aisyah melayan saya seperti kawan baiknya. Dia anak tunggal. Rumah mereka di tepi jalan yang tidak sibuk. Sekali sekala kawan Aisyah datang dan turut bermain dengan saya. Mereka baik. Manusia kecil. Mak saya tidak suka saya bermain dan berbaik dengan manusia. Sebabnya sudah jelas. Abang mati kerana manusia.

Tetapi manusia kecil ini baik, saya beritahu Mak. Tidak seperti manusia yang besar. Yang besar ada yang jahat. Lagipun saya juga masih kecil. Saya perlukan kawan. Manusia kecil inilah kawan saya.

“Mak sudah lihat perangai kebanyakan mereka. Mereka tamak. Setiap kali mereka lakukan sesuatu pada hutan, selepas itu, pasti terjadi bencana,” Mak berpesan kepada saya. Dia menyimpan dendam.

***

Langit gelap petang itu. Awan hitam. Angin bertiup kiri dan kanan. Kemudian hujan turun selebatnya.

Anak sungai di belakang rumah mula melimpah airnya, menenggelami kawasan rumah Aisyah. Saya lihat Aisyah dan keluarganya mengangkat barang di dalam rumah. Kemudian mereka meninggalkan rumah.

Mereka sudah tak pedulikan kami.

Mak mengupil pada hujung rantai saya untuk membebaskan saya. Kerana rantai saya lebih kecil, selepas beberapa kali, ia berjaya. Ketika itu air sudah naik separuh reban. Mak menyuruh saya panjat ke atas bumbung rumah dulu. Saya kata saya hendak tunggu Mak mengupil rantainya.

Tetapi Mak tetap suruh saya pergi dulu. Disebabkan masih kecil, saya mengikut kata Mak.

Saya naik ke bumbung. Air sudah naik tinggi. Saya tunggu Mak. Lama. Tapi dia belum datang.

Sebuah sampan datang. Seorang budak lelaki menyelamatkan saya.

Saya dibawa ke sebuah bangunan. Manusia ramai di situ. Mereka berkumpul di situ kerana rumah mereka sudah tenggelam. Ramai anak-anak kecil macam saya.

Tidak lama kemudian, seseorang yang saya kenal datang mendapatkan saya. Aisyah. Dia memeluk saya. Hangat pelukan itu. Dia menyelimutkan saya.

Selepas beberapa hari, akhirnya kami dapat pulang. Aisyah bawa saya pulang.

Aisyah gembira kerana dapat pulang ke rumahnya. Tetapi rumahnya sudah kotor dan teruk. Batang-batang pokok yang besar di sana sini. Lumpur memenuhi ruang dalam rumah. Sampah sarap di merata-rata, mencemarkan pandangan mata.

Aisyah membawa saya ke reban.

Ada seseorang yang berdiri di depan reban itu menghalang pandangan saya untuk melihat ke dalam reban. Manusia itu ialah bapa Aisyah.

Bapa Aisyah menggeleng kepala kepada Aisyah. Seolah memberi arahan supaya tak membawa saya untuk lebih dekat.

“Jangan datang lagi. Bawa dia pergi depan dulu,” kata bapa Aisyah.

“Kenapa ayah?” tanya Aisyah.

“Bawa dulu dia ke depan. Nanti ayah panggil baru datang.”

Aisyah bawa saya pergi dari situ.

Saya terus cuba melihat ke arah reban itu. Tetapi saya hanya bertemu mata dengan bapa Aisyah. Pandangannya pada saya seolah ada sesuatu.

Saya hanya mahu melihat jika Mak masih ada dalam reban itu. Tetapi saya tak pasti apa yang akan saya jumpa. Kerana rindukan Mak, saya hanya menutup mata, dan merangkul dalam pelukan seorang manusia kecil bernama Aisyah. Mungkin saya sebenarnya tak mahu tahu sama ada Mak masih ada di dalam reban itu ataupun tidak. Namun saya tahu hangat pelukan seorang manusia kecil tak sama dengan kehangatan pelukan Mak saya.

 

 


Pengarang :