Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Adam Adli berucap ketika Ceramah Mega Jelajah Pakatan Harapan Selangor di Dewan Serbaguna Seksyen 7 Kota Damansara, Petaling Jaya pada 23 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ketua AMK seru mahasiswa perjuang isu elaun latihan industri setimpal

PETALING JAYA, 24 OGOS: Mahasiswa perlu memperjuang isu elaun latihan industri yang tidak setimpal berbanding menyerahkan perkara itu kepada menteri, kata ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Adam Adli khuatir tuntutan yang dibawa mahasiswa senasib dengan beberapa isu berkaitan pekerja yang tiada jalan penyelesaian selepas diadukan kepada menteri.

“Kita boleh beritahu pada menteri dan kerajaan tetapi apa yang diusahakan selama ini seperti gaji minima, kerja lapan jam dan sebagainya itu diusahakan dan diperjuangkan golongan pekerja itu sendiri.

“Nak tunggu menteri, korporat untuk mulakan jangan harap ia mesti dimulakan oleh mereka yang bekerja. Dalam isu pelajar industri ini kamu kena mulakan, kumpul pelajar industri ramai-ramai buat hartal lepas tu ‘demand’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Youth Talk ‘What The Future Holds For Malaysian’ di The Bibliophile Cafe di sini, malam tadi.

Terdahulu, seorang pelajar industri membangkitkan isu elaun yang tidak setimpal diterimanya bersama rakan-rakan sedangkan mereka perlu mengeluarkan belanja untuk ke tempat latihan.

Ketika Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi kerajaan pusat berhasrat menaikkan kadar elaun latihan praktikal di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan daripada RM300 sebulan kepada kira-kira RM900 sebulan.

Menteri Belia dan Sukan ketika itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata perkara itu diputuskan kerajaan dalam mesyuarat jawatankuasa khas Kabinet anak muda pada 19 Ogos 2019 dengan peningkatan kadar elaun lebih tiga kali ganda itu mula berkuat kuasa pada 1 September 2019.


Pengarang :