EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau (lima, kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Peguam Selangor V Komila Vaani (enam, kanan) bergambar bersama sebahagian Ahli Dewan Negeri (ADN) dan peguam pada Majlis Pelancaran Program Dana Bantuan Guaman Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Khidmat percuma bantu rakyat kurang mampu dapat nasihat guaman

SHAH ALAM, 30 OGOS: Selangor muncul negeri pertama menyediakan skim bantuan guaman secara percuma kepada rakyat berpendapatan rendah dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.

EXCO kebajikan masyarakat berkata inisiatif Dana Bantuan Guaman Selangor merupakan pendekatan baharu Kerajaan Negeri dalam memastikan masyarakat tidak ditindas dan terpinggir.

Menurut V Ganabatirau, bantuan tersebut diurus Jawatankuasa Peguam Selangor dan layak diberi kepada individu yang berdepan isu kekeluargaan (sivil), pekerjaan serta kes kepentingan awam.

“Kita sudah serahkan RM300,000 kepada jawatankuasa berkenaan supaya mereka boleh menjalankan tanggungjawab membantu masyarakat memerlukan.

“Khidmat ini terbuka kepada warganegara, pengundi di Selangor atau tinggal di sini sekurang-kurangnya 10 tahun dan berpendapatan kurang RM3,000,” katanya selepas merasmikan program berkenaan di Hotel Concorde di sini hari ini.

Majlis turut disertai Presiden Majlis Peguam Malaysia Karen Cheah Yee Lynn, Pengerusi Jawatankuasa Peguam Selangor V Kokila Vaani dan wakil rakyat negeri.

Ganabatirau berkata penduduk yang mahu mendapatkan bantuan guaman tersebut boleh menghubungi pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri masing-masing.

“Isi borang disediakan dengan lengkap. Kita akan meneliti segala maklumat dan permohonan yang layak akan diserah ke jawatankuasa,” katanya lagi.

Pada 24 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penubuhan skim terbabit bagi membela hak dan kebajikan individu berdepan masalah kewangan mendapatkan nasihat guaman.


Pengarang :