SHAH ALAM, 12 OGOS: Orang ramai dipelawa menyertai pertandingan kibar Jalur Gemilang anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sempena sambutan Hari Kebangsaan hujung bulan ini.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata pertandingan yang bermula 1 Ogos lalu sehingga 16 September menawarkan hadiah wang tunai RM500 berserta sijil penyertaan kepada juara.
Menurut Shahrin Ahmad tempat kedua akan memenangi RM350, ketiga (RM250) dan 10 hadiah saguhati bernilai RM100 selain masing-masing mendapat sijil penyertaan.
“Orang ramai yang berminat boleh berkongsi gambar atau video Jalur Gemilang yang dipasang atau dikibar pada bangunan, pejabat, rumah, kediaman atau premis perniagaan di sekitar Shah Alam,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau peserta hanya perlu ‘Like’ dan ‘Follow’ semua saluran media sosial MBSA iaitu Facebook, Instagram, Twitter dan Tiktok dan perlu menggunakan kapsyen bertemakan Hari Kemerdekaan berserta tanda pagar #kibarjalurgemilangMBSA.
“Mereka juga perlu memastikan akaun media sosial peribadi ditetapkan sebagai awam (public) dan lokasi gambar atau video adalah dalam kawasan pentadbiran MBSA,” katanya.
Untuk pertanyaan lanjut boleh hubungi Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1430 atau 1777.