Pemain beregu wanita M Thinaah dan Pearly Tan berjaya meraih pingat emas ketujuh negara setelah mengalahkan pasangan beregu England pada aksi badminton akhir semasa Sukan Komanwel Birmingham 2022 di National Exhibition Center pada 8 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Komunikasi baik bantu Thinaah-Pearly raih emas Komanwel

KLANG, 12 OGOS: Komunikasi yang baik antara M Thinaah dengan Pearly Tan sejak 10 tahun lalu adalah rahsia kejayaan pasangan regu itu memenangi pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Thinaah berkata tempoh yang agak lama itu membantu mereka saling memahami antara satu sama lain ketika berada di gelanggang.

“Saya kenal dia sebelum masuk Sekolah Sukan Bukit Jalil lagi, kemudian saya main perseorangan dan selepas beberapa tahun baru kami berdua bergandingan dalam regu.

“Kami cukup memahami antara satu sama lain, kalau ada masalah saya boleh kongsi dengan dia, kami ada jatuh bangun bersama. Jadi komunikasi yang baik ini banyak membantu kami,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika menerima sumbangan khas dari Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa, semalam.

Sumbangan wang tunai itu disampaikan wakil rakyat, Dr G Gunarajah di kediaman pemain badminton beregu wanita itu dekat Bandar Bukit Tinggi di sini.

Thinaah dan Pearly menyumbang pingat emas selepas menewaskan pasukan tuan rumah dalam pusingan akhir acara badminton beregu wanita.

Beregu nombor 11 dunia itu menewaskan Chloe Birch-Lauren Smith 21-5, 21-8 dalam tempoh tidak sampai 30 minit permainan.


Pengarang :