EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berucap ketika Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 25 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kontrak KDEBWM, PBT disemak pastikan khidmat kutip sampah lancar

SHAH ALAM, 2 OGOS: Tempoh kontrak kutipan sampah dan sisa pepejal antara KDEB Waste Management (KDEBWM) dengan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diteliti bagi memastikan perkhidmatan terbaik.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata Kerajaan Negeri juga akan mengkaji semula kadar tip (tipping fee) supaya agensi itu mendapat bayaran bersesuaian.

“Kadar harga diterima syarikat konsesi lain seluruh dunia juga akan dibandingkan. Selain itu kita akan mempertimbangkan faktor lain antaranya gaji minimum yang berkuat kuasa pada 1 Mei lalu.

“Selepas meneliti semua perkara, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan dengan wajar berhubung keperluan pemberian semula geran kepada KDEBWM,” katanya ketika menggantikan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han pada sesi penggulungan usul Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Minggu lalu beberapa wakil rakyat menyarankan Kerajaan Negeri mencari formula baharu termasuk tambahan peruntukan dana kepada KDEBWM bagi memastikan agensi tidak terbeban sekali gus dapat mengurus sisa pepejal dengan baik.

Ia berikutan usul dibawa Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei berkaitan perkhidmatan anak syarikat Kerajaan Negeri itu seperti dilaporkan Jabatan Audit Negara pada 2019.

Sementara itu, Loy Sian berkata penjenayah alam sekitar bakal didenda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali sekiranya dasar rang undang-undang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam diluluskan.

“Namun pihak perundangan sedang meneliti draf enakmen secara terperinci dan dalam pertimbangan untuk bawa semula kepada peringkat persekutuan.

“Enakmen ini juga turut membolehkan pesalah dihukum dengan perintah kerja pemulihan oleh mahkamah. Pada masa sama, PBT sentiasa menyemak undang-undang kecil bagi memastikan perundangan sentiasa relevan dari semasa ke semasa,” katanya.


Pengarang :