Ahli Kelab Motosikal Helang menunggang pelbagai jenis motosikal sempena program Konvoi Kemerdekaan anjuran Team Selangor pada 14 Ogos 2022. Foto Facebook Selangor Lestari by Team Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Konvoi Merdeka Team Selangor semarak semangat cintakan tanah air

SHAH ALAM, 17 OGOS: Bagi menyemarak semangat cintakan tanah air, seramai 128 ahli Kelab Motosikal Helang dari Ampang dan Pandan mengambil bahagian dalam program konvoi kemerdekaan anjuran Team Selangor pada 14 Ogos lalu.

Ketua sekretariatnya berkata konvoi berkenaan diketuai penyanyi rap tersohor, Altimet atau Syed Ahmad bermula dari lokasi masing-masing menuju ke Tanjong Sepat, Kuala Langat dengan mengambil masa sejam setengah untuk tiba.

Menurut Syahaizel Keman ketibaan peserta konvoi yang majoriti terdiri daripada golongan muda disambut wakil rakyat Borhan Aman Shah sebelum melancarkan Kelab Motosikal Helang Tanjung Sepat.

“Di situ, beliau (Borhan Aman Shah) melancarkan kelab motosikal yang dianggotai kira-kira 30 ahli. Kemudian mereka bersama-sama membersihkan sampah-sarap di sekitar Pantai Batu Laut.

“Selesai aktiviti pembersihan, peserta bergerak ke kediaman 30 penduduk membabitkan Kampung Kanchong Tengah, Kampung Ladang Batu, Kampung Kundang, Kampung Batu Laut dan Kampung Tanjung Sepat untuk memasang bendera kebangsaan,” katanya kepada Selangorkini.

Selain itu, beliau berkata peserta konvoi menziarahi beberapa rumah pesara tentera dan polis untuk agihan bakul makanan sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mempertahankan kedaulatan negara.

Syahaizel turut memaklumkan konvoi sama akan diadakan di beberapa lokasi menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-65.

“Kita sudah menyiapkan kertas kerja untuk penganjuran konvoi tersebut. Kemungkinan diadakan di Meru dan Kuala Selangor,” katanya.


Pengarang :