Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 6 Mei 2021. FotoBERNAMA
AGENDANASIONAL

KPN: Anggota terlibat kes peras ugut belum dipindah ke Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU, 4 OGOS: Sembilan anggota polis yang dipercayai terlibat dalam kes peras ugut di Selangor masih belum dipindahkan ke Sabah atau Sarawak, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil perhatian terhadap maklum balas daripada kerajaan Sabah dan Sarawak berhubung perkara itu, dan pihaknya mengarahkan Jabatan Pengurusan PDRM untuk mengambil tindakan lanjut termasuk mengkaji semula isu berkaitan perpindahan anggota terbabit.

“Mereka (anggota polis) belum dipindahkan lagi (ke Sabah atau Sarawak).

“Terima kasih atas maklum balas yang kami terima daripada Kerajaan Sarawak dan Sabah. Apa juga makluman berkaitan perkara ini akan disalurkan melalui Unit Komunikasi Korporat PDRM,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Op Bersepadu Khazanah Siri 11 Bil.2/2022 hari ini.

Selasa lepas Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi dilaporkan berkata sembilan anggota polis yang disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah baru-baru ini ditukarkan ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak.

-BERNAMA

 


Pengarang :