AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KPS catat untung bersih lebih tinggi RM2.64 juta pada suku kedua 2022

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM2.64 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2022 daripada RM1.64 juta pada 2021, berikutan normalisasi permintaan dan bekalan cip elektronik yang tidak stabil.

Perolehan pada suku itu menokok kepada RM325.51 juta daripada RM323.75 juta sebelum ini berikutan perolehan lebih tinggi daripada Aqua-Flo Sdn Bhd, CPI (Penang) Sdn Bhd dan King Koil Licensing Company Inc.

Pada separuh pertama 2022, KPS turut mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM12.97 juta berbanding RM12.64 juta pada separuh pertama 2021, manakala perolehan menokok kepada RM654.69 juta daripada RM632.14 juta.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan KPS Ahmad Fariz Hassan berkata normalisasi permintaan pelanggan yang didorong pandemik dan bekalan cip elektronik yang terus berkurangan merupakan dua faktor penting yang menyebabkan perolehan prestasi pembuatan kekal tidak berubah.

“Operasi Toyoplas Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd telah terjejas disebabkan penutupan wajib kilang di  Dongguan dan Shanghai akibat dasar sifar COVID China,” katanya.

Beliau berkata kumpulan akan memperkemas sumber dan operasi yang mungkin melibatkan penilaian semula kapasiti operasi untuk persekitaran operasi yang lebih menjimatkan kos.

Ia bertujuan menangani cabaran operasi Tayoplas, mengurangkan risiko pengawalseliaan di samping menguruskan kos operasi yang meningkat, katanya.

“Kebimbangan mengenai kemelesetan dan inflasi, ditambah pula dengan makroekonomi yang tidak menentu dan tidak stabil, berkemungkinan mengakibatkan persekitaran operasi kekal mencabar.

“Sehubungan itu, kami telah menyusun semula jangkaan ke atas prospek perniagaan berdasarkan persekitaran makro luaran semasa dan dinamik operasi dalaman kami,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kumpulan itu akan kekal berhati-hati dan memberikan lebih perhatian kepada aspek penting seperti pengeluaran dan pengoptimuman kos untuk mengekalkan pendapatan kasar utama serta melindungi pendapatan teras.

— BERNAMA

 


Pengarang :