Gelagat kanak-kanak semasa melaungkan merdeka ketika hadir ke Majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan Uptown Shah Alam yang dianjurkan oleh PKNS sempena sambutan hari Kebangsaan Ke-65 di Seksyen 24 Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Lebih 1,000 pengunjung rai sambutan ambang merdeka PKNS

SHAH ALAM, 31 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama Persatuan Peniaga Uptown Shah Alam kembali menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di pusat perniagaan larut malam, PKNS Uptown Shah Alam, Seksyen 24, di sini yang dihadiri lebih 1,000 orang pengunjung.

Selepas dua tahun tidak dapat diadakan ekoran penularan wabak Covid-19, sambutan berkenaan merupakan acara tradisi yang dianjurkan oleh perbadanan itu pada setiap tahun bagi meraikan sambutan kemerdekaan bersama para peniaga dan pengunjung yang sentiasa memberikan sokongan terhadap Uptown yang diuruskan oleh PKNS.

Majlis yang dirasmikan oleh Pengurus Besar Kanan Pentadbiran PKNS Saharom Mohni, turut disertai gimik pelancaran yang disempurnakan beliau bersama barisan ahli pengurusan PKNS bertemakan pencak silat.

Dalam kenyataan malam tadi, PKNS berkata gimik pelancaran itu dipilih sebagai penghormatan kepada tokoh pejuang tanah air yang berjuang dan berkorban demi untuk mendapatkan kemerdekaan seperti yang dirasai pada hari ini.

Perbadanan itu turut memaklumkan sebanyak 200 bendera Jalur Gemilang diedarkan kepada para pengunjung untuk sama-sama dikibarkan tatkala laungan merdeka menjelang detik 12.00 malam.

Terdahulu, pengunjung dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh beberapa penghibur antaranya kumpulan pemuzik Ejud Band dan Harry Khalifah bersama pengacara Joey Daud.

Pengurus Komunikasi Korporat PKNS Sobree Zainal berkata sambutan kemerdekaan merupakan acara yang sangat penting bagi memperingati detik paling bersejarah buat negara dan erti kemerdekaan itu sangat mendalam bagi PKNS.

“Justeru itu, bagi berkongsi rasa cinta kepada negara dan menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan warga kerja, kami turun padang untuk mendekatkan diri serta meningkatkan penglibatan secara terus dengan masyarakat awam,” katanya.

Sobree berkata Uptown itu dipilih sebagai lokasi penganjuran memandangkan pusat perniagaan ini mencatatkan jumlah pengunjung yang sangat menggalakkan pada setiap hari dan mempunyai pengunjung setianya yang tersendiri.

“PKNS komited dalam menyediakan prasarana yang lengkap untuk memacu agenda keusahawanan di Selangor dan sedang dalam usaha untuk menaik taraf PKNS Uptown menjadi sebuah kompleks mercu tanda di Shah Alam serta menjadi tempat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri.” katanya.

Beliau berkata pembinaan kompleks itu sedang dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

-BERNAMA


Pengarang :