Kakitangan Platform Selangor (PLATS) mempromosi kaedah jualan menerusi platform digital ketika Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 14,000 peniaga kecil sertai PLATS setakat Julai

SHAH ALAM, 5 OGOS: Seramai 14,517 peniaga dan penjaja kecil menyertai Platform Selangor (PLATS) untuk meluaskan rangkaian perniagaan setakat 31 Julai lalu.

Agensi berkata pihaknya juga berjaya mendaftar peniaga di kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada Jelajah Selayong Penyayang di Gombak hujung bulan lalu.

“Jumlah peniaga PLATS di lokasi MPS sehingga kini adalah 490 dan jumlah keseluruhan peniaga berdaftar di PLATS Selangor adalah 14,517 sehingga 31 Julai 2022,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, Penyelarasnya Azizul Hussin menyasarkan 20,000 penjaja kecil yang cenderung berubah ke arah jualan digital menyertai PLATS menjelang hujung tahun.

PLATS diperkenal Ramadan dua tahun lepas bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.

Pada 11 April tahun lalu, PLATS 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Platform maya siri 3.0 itu diteruskan tahun ini pada April melibatkan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad, Rakan Digital Selangor dan 12 pihak berkuasa tempatan.


Pengarang :