Orang ramai yang hadir pada program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di Dewan Rafflesia MBSA, Taman Bukit Subang pada 14 Ogos 2022. Foto Halim Abdul Rahman/SelangorTV
ADNSELANGOR

Lebih 500 hadir saringan kesihatan percuma DUN Kota Anggerik

SHAH ALAM, 14 OGOS: Lebih 500 individu hadir pemeriksaan kesihatan percuma pada program Selangor Saring di Dewan Rafflesia MBSA, Taman Bukit Subang, dekat sini hari ini.

Wakil rakyat Kota Anggerik Najwan Halimi berkata sambutan memberangsangkan dan masyarakat juga sudah mula sedar untuk membuat pemeriksaan kesihatan mereka.

“Saya harap penduduk di negeri ini manfaatkan masa mereka hadir sekejap ke program Selangor Saring ini walau di mana sahaja.

“Program ini tanda keprihatinan negeri kepada rakyat kerana ia bukan sahaja percuma tetapi kita dapat mengesan awal penyakit dialami,” katanya kepada SelangorKini.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan program itu yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Program sama itu juga bakal diadakan di Kompleks 3K Subang Jaya (DUN Subang Jaya) pada 28 Ogos ini.


Pengarang :