Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad (tengah) bersama Duta Pelancongan Selangor Puan Juliana Evans (berdiri, kiri empat) bergambar di reruai Tourism Selangor sempena Jelajah Pusing Selangor Dulu edisi Johor 2022 di Paradigm Mall Johor Bahru pada 13 Ogos 2022. Foto Tourism Selangor
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Lebih 50,000 pengunjung meriahkan Jelajah Pusing Selangor Dulu di Johor

SHAH ALAM, 15 OGOS : Lebih 50,000 pengunjung memeriahkan Jelajah ‘Pusing Selangor Dulu’ yang diadakan di pusat membeli-belah Paradigm Mall Johor Bahru.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor berkata program pada 13 dan 14 Ogos itu mempromosi destinasi pelancongan menarik yang mesti dikunjungi pelancong dari Johor dan Singapura.

“Johor dipilih sebagai lokasi jelajah tahun ini kerana kedatangan pelancong dari negeri itu ke Selangor merekod jumlah tertinggi ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Kita turut mengambil kesempatan untuk mempromosi Selangor kepada pasaran Singapura dengan memperkenal produk pelancongan Selangor secara jualan kepada penduduk di sana,” kata Azrul Shah Mohamed menerusi kenyataan.

Beliau yakin jelajah tersebut akan meningkatkan semula pendapatan ekonomi sekali gus memajukan sektor pelancongan di Selangor.

Menerusi siri jelajah tersebut, Tourism Selangor bekerjasama dengan Malaysia Airlines dan Gamuda GM Klang termasuk penglibatan lima pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Majlis Perbandaran Klang.

Lebih 15 operator pelancongan menyertai pameran dengan menawarkan jualan menarik diskauan promosi sehingga 50 peratus kepada pengunjung seperti Jumpstreet Malaysia, Sky Mirror, Avani Sepang Goldcoast Resort dan Homestay Banghuris.

Sepanjang dua hari penganjuran, Tourism Selangor turut menganjurkan pelbagai aktiviti menarik bersama Animonsta Studio melalui animasi BoboiBoy, persembahan kebudayaan Pertubuhan Kembara Anak Seni Selangor (PKAS) dan Orang Asal Kaum MahMeri serta Sesi ‘Meet & Greet’ bersama Duta Pelancongan Kempen Pusing Selangor Dulu Che Puan Juliana Evans.


Pengarang :