Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) antara yang akan diperkenalkan dalam Karnival Jelajah Selangor Penyayang daerah Hulu Langat pada 19 Jun 2022. Foto ARKIB SELANGORKINI
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 700 penduduk Bukit Melawati mohon bantuan keperluan asas

SERDANG, 10 OGOS: Lebih 700 penduduk kurang berkemampuan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati memohon Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

Wakil rakyatnya berkata permohonan bantuan RM300 mendapat sambutan luar jangka sejak dibuka awal bulan lalu ketika Jelajah Selangor Penyayang peringkat daerah Kuala Selangor.

“Ini menunjukkan betapa ramai rakyat susah dan kesemua permohonan mereka dalam proses semakan berikutan kuota yang diperuntukkan sebanyak 350,” kata Juwairiya Zulkifli di sini semalam.

Ditemui selepas melancarkan Burgernita anjuran Yayasan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Juwairiya berkata pihaknya sedang mencari mekanisme bagi memastikan keluarga yang benar-benar layak mendapat bantuan tersebut.

“Penerima manfaat yang lama (Kasih Ibu Smart Selangor) dan (KISS Ibu Tunggal) akan dibuat pemutihan kerana mungkin ada anak mereka yang sudah berusia lebih 18 tahun serta bekerja.

“Mereka yang layak akan menerima bantuan sebaik proses pemutihan serta pendaftaran baharu selesai dijangka dalam tempoh satu atau dua bulan lagi,” katanya.

Bingkas antara inisiatif terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang bagi menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat selain membantu kebajikan lebih ramai rakyat negeri ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan hampir 30,000 keluarga di Selangor bakal menerima bantuan sebanyak RM3,600 setahun.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan bagi membeli keperluan asas membabitkan peruntukan RM6.3 juta yang diagih menerusi e-dompet Wavpay.


Pengarang :