AGENDAJENAYAH

Lelaki cedera bergelut dengan orang awam ketika cuba curi motosikal

GEORGE TOWN, 5 OGOS: Polis hari ini tampil membuat penjelasan berhubung penularan satu klip video di media sosial hari ini yang memaparkan keadaan seorang lelaki yang mengalami kecederaan di muka, dikatakan selepas berlaku pergelutan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati lelaki berusia 37 tahun itu mengalami kecederaan selepas bergelut dengan orang awam semasa dia cuba mencuri motosikal di Jalan Patani, di sini, kira-kira pukul 9 pagi Rabu lepas.

“Suspek bertindak agresif, berlaku pergelutan semasa tangkapan dibuat oleh orang awam menyebabkan suspek mengalami kecederaan di bahagian muka, dan dia juga dilihat dalam keadaan terhuyung-hayang disyaki mabuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pemilik motosikal itu yang berumur 25 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut berhubung kejadian.

Soffian berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan bagi kesalahan cubaan mencuri motosikal dan suspek ditahan reman selama dua hari untuk siasatan lanjut.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman video berkenaan kejadian itu laman media sosial bagi mengelak sebarang spekulasi dan menjaga sensitiviti kaum.

Terdahulu beberapa video berdurasi 4 saat hingga 1 minit 28 saat yang memaparkan membabitkan seorang lelaki yang berlumuran darah di bahagian muka, dan dengan tangan yang bergari, menjadi tular di media sosial hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :