Lelaki dipercayai menggunting Jalur Gemilang di kawasan berdekatan bangunan Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang pada 17 Ogos 2022 seperti mana tular di laman sosial. Foto Facebook PDRM
AGENDA NASIONAL

Lelaki disyaki gunting Jalur Gemilang ditahan polis

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Polis hari ini menahan seorang lelaki tempatan disyaki menggunting Jalur Gemilang berdekatan sebuah premis di Jalan Ampang semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata penahanan lelaki berusia 41 tahun itu susulan pihaknya menerima satu laporan polis berkenaan kejadian suspek dipercayai merosakkan Jalur Gemilang sepertimana dalam klip video yang tular di laman media sosial tiktok @iekakartka_.

Beliau berkata siasatan awal dijalankan mendapati kejadian tersebut berlaku berdekatan bangunan Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang, lebih kurang 12.37 tengah hari, semalam.

“Individu yang terlibat ditahan kira-kira 12.30 tengah hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan individu tersebut akan direman esok bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihati orang ramai agar menyalurkan maklumat serta merta ke atas sebarang kegiatan menyalahi undang-undang dengan menghubungi MERS 999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 37 saat dalam aplikasi Tik Tok memaparkan seorang lelaki berbaju merah dan bertopi biru menggunting beberapa Jalur Gemilang yang dipasang di laluan pejalan kaki dipercayai di hadapan MATIC di Jalan Ampang di sini.

Menurut pemilik akaun Tik Tok berkenaan, dia telah menegur perbuatan lelaki itu tetapi tidak diendahkan selain khuatir akan keselamatan diri ekoran pelaku memegang gunting.

– BERNAMA


Pengarang :