Muhammad Fadhil Lope (tengah) didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar pada 22 Ogos 2022 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyamar sebagai Raja Muda Perak pada Jun. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lelaki menyamar Raja Muda Perak didenda RM4,000

ALOR SETAR, 22 OGOS: Seorang lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyamar sebagai Raja Muda Perak pada Jun lepas.

Mahkamah juga memerintahkan Mohammad Fadhil Lope, 39, yang bekerja kampung itu menjalani hukuman penjara selama tempoh 10 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohammad Fadhil dituduh memperdaya Muhammad Faizal Azli Md Salleh yang bertugas di Pejabat Tuanku Sultan Kedah dengan menyamar supaya mempercayai bahawa tertuduh adalah Raja Muda Perak untuk dibenarkan berjumpa dengan Sultan Kedah.

Tertuduh yang membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Zulhilmi Latif didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter Pejabat Tuanku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman di sini, pada kira-kira 11.30 pagi, pada 28 Jun lepas.

Mohammad Fadhil dituduh mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, semasa Muhammad Faizal Azli sedang bertugas, tertuduh hadir memperkenalkan diri dengan menggunakan satu kad pengenalan berwarna kuning dan ketika kad itu diperiksa mendapati butiran yang tertera adalah di bawah nama ‘Duli Yang Maha Mulia Raja Muda Perak Tuanku Tun Mamat Fadhil Duke Of Royal Malaysia’.

Kemudian selepas semakan dibuat dengan Ketua Protokol dan Istiadat Negeri Perak mengesahkan bahawa tiada kerabat diraja bernama sedemikian.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Syafiq Ahmad.

– BERNAMA

 


Pengarang :