(Hiasan) Seramai 17,599 individu diisytiharkan bankrap sejak 2020 hingga Mei lalu, dengan majoriti kes membabitkan lelaki. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lelaki paling ramai muflis dalam tempoh dua tahun

SHAH ALAM, 3 OGOS: Seramai 17,599 individu diisytihar muflis sejak 2020 hingga Mei lalu, dengan golongan lelaki merekodkan kes tertinggi sebanyak 12,970.

Sebanyak 4,607 kes pula membabitkan wanita manakala baki tidak dapat dipastikan jantina, menurut menteri hal ehwal undang-undang dan parlimen, lapor Berita Harian.

Daripada jumlah itu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata lingkungan usia 34 hingga 44 tahun mencatatkan jumlah teramai iaitu 6,681 kes diikuti 45 hingga 54 tahun dengan 4,819 kes.

“Golongan berusia 25 hingga 34 tahun sebanyak 3,171 kes, 55 tahun dan ke atas (2,823), bawah 25 tahun (46) dan 59 kes dikategorikan tiada maklumat,” katanya menjawab soalan dalam Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, Selangor merekodkan kes tertinggi dengan 4,164, diikuti Wilayah Persekutuan (2,203), Johor (1,987), Sabah (1,642) dan Perak (1,728).

Mengikut pecahan kaum pula, beliau berkata, Melayu mencatat angka tertinggi sebanyak 10,266 kes, Cina (4,447), India (1,321) dan 48 kes bukan warganegara.


Pengarang :