Painah Siwan ditemui dalam keadaan lemah berhampiran lopak air dengan jarak 900 meter daripada pos kawalan operasi menyelamat dan 1.4 km dari arah hadapan rumahnya pada 15 Ogos 2022. Foto Facebook Zali Bekam JB
AGENDANASIONAL

Lima hari hilang, warga emas ditemui lemah tepi lopak air

BATU PAHAT, 15 OGOS: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Parit Kasih Sayang, Senggarang, dekat sini Rabu lepas, ditemui selamat pada pukul 11.25 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata Painah Siwan, 79, ditemui dua orang awam yang turut serta dalam operasi mencari yang disertai oleh 102 orang pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta 20 orang kampung.

Beliau berkata wanita itu ditemui dalam keadaan lemah berhampiran lopak air dengan jarak 900 meter daripada pos kawalan operasi menyelamat dan 1.4 km dari arah hadapan rumahnya.

“Warga emas itu dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk rawatan lanjut, dan dia kini berada berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rabu lepas warga emas itu dilaporkan pergi ke kebun kelapa sawit berkenaan untuk mencari lidi dan disedari hilang oleh anggota keluarganya apabila tidak pulang ke rumah, sekitar pukul 3.30 petang.

-BERNAMA


Pengarang :