Sebuah lori dan jengkaut disita oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat kerana terlibat dalam kegiatan pembuangan sampah haram di Jalan Sijangkang Utama, Kuala Langat, semalam. Foto Facebook MPKL
PBTSELANGOR

Lori disita ketika leka buang sampah haram

SHAH ALAM, 16 OGOS: Sebuah lori disita oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) ketika leka membuang sampah secara haram di Jalan Sijangkang Utama, Kuala Langat, semalam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata tindakan itu dilakukan hasil rondaan pegawai penguatkuasanya kira-kira jam 11.30 pagi.

“Pada awalnya, mereka memberi alasan sedang menambak tanah di situ tetapi kita mendapati mereka juga membawa dan membuang sampah.

“MPKL turut menyita sebuah jengkaut yang sedang meratakan sampah di kawasan tersebut (tanah persendirian),” kata Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim kepada Selangorkini hari ini.

Beliau berkata tindakan itu dibuat dibawah Undang-Undang Kecil 4, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah Sarap MDKL 2007.

“Sekiranya anda terlihat sebarang aktiviti pembuangan sampah haram, anda boleh menghubungi Jabatan Penguatkuasa MPKL melalui talian 012-300 4217,” katanya.


Pengarang :